Make your own free website on Tripod.com

Text Box: Disampaikan Oleh	: Ust. Wahiri Mahmud
Tarikh			: 7 November 1997
Tempat		: Pusat Islam Awis Qarni, UiTM Cawangan Pahang, Malaysia.
 

 

 

 


Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

D

ari mimbar yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada tuan-tuan sekelian, marilah bersama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan memastikan kita mematuhi titah perintah dan meninggalkan larangan Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita dikumpulkan oleh Allah s.w.t dikalangan umat manusia, makhluk yang mendapat kurnia Allah s.w.t mencari keredhaan yang kekal abadi dunia dan akhirat.

            Marilah kita bersama-sama membuktikan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan berusaha untuk memastikan segala tindak tanduk kita, ucapan dan lafaz kita serta gerak-geri kita menuju suatu arah untuk mencari keredhaan dan keberkatan hidup sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Suatu perkara yang perlu kita perhatian pada hari ini ialah fenomena dimana umat Islam semakin hari semakin jauh daripada menghayati dasar-dasar kehidupan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Kita melihat kehidupan umat Islam sekarang semakin jauh dari landasan yang telah diwajibkan oleh pencipta alam. Ini berlaku disebabkan oleh banyak perkara yang besarnya umat Islam rata-ratanya semakin ghairah untuk hidup berdasarkan konsep hidup sekular iaitu fahaman kebendaan yang memisahkan agama dari kehidupan dan memisahkan nilai-nilai kerohanian dari nilai-nilai keakhiratan. Inilah sebab utama kenapa sekarang umat Islam semakin mundur dan tertindas.

            Ini adalah disebabkan oleh umat Islam yang kurang faham konsep hidup adalah konsep ibadah. Rata-ratanya hanya memahami ibadah adalah puasa, sembahyang, zakat, dan sebagainya. Sedangkan Allah s.w.t mewajibkan kita memahami bahawa ibadah adalah memenuhi seluruh aspek kehidupan manusia berpaksikan mencari keredhaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:-

“diutuskan manusia dan jin semata hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t”

 

dan menurut Ibnu Tarmiah:-

“ibadah itu ialah suatu perasaan ketundukan kepada Allah s.w.t dalam semua aspek kehidupan sehingga akhirnya melahirkan rasa rendah diri apabila berdepan dengan kehendak Allah s.w.t”

           

            Jelaslah ibadah menurut Islam adalah segala gerak-geri, tindakan dan segala apa yang berkaitan dengan kehidupan seharusnya tidak memutuskan hubungan dengan Allah .s.w.t  Ibadah sebenarnya tiga hubungan iaitu hubungan dengan Allah s.w.t, hubungan dengan manusia, dan yang ketiga adalah hubungan dengan alam. Ketiga-tiga hubungan ini hendaklah dijaga dengan baik bagi memastikan keredhaan Allah s.w.t.

            Berdasarkan kepada kehidupan kita pada hari ini, tiada jalan yang terbaik untuk kita menjadi umat yang terbaik kecuali kita kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya perkara ini tidak kita lakukan bersungguh-sungguh, kita masih tidak mampu menyelesaikan 1001 masalah umat Islam pada masa ini. Oleh itu, inagtlah firman Allah s.w.t:-

“sekiranya kita meninggalakn peringatan al-Quran, kamu akan menghadapi kehidupan yang sempit di dunia ini, kamu akan buntu mencari penyelesaian masalah, bukan saja kehidupan di dunia malah yang lebih sempit lagi di akhirat kelak”.

           

            Sebelum Allah s.w.t memanggil kita dengan seruan kematian, marilah kita mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t untuk hidup mencari keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t. InsyaAllah…