Text Box: Suatu Perjuangan
 

 

 


R

ama-rama Maharaja adalah dari spesis yang paling hebat dan unggul daripada segala jenis spesis rama-rama. Sebelum menjadi rama-rama dewasa, ia dilahirkan sebagai larva (ulat bulu) dan seterusnya terpaksa menjadi kepompong yang tinggal di dalam pembedung. “Leher”  pada pembedung ini sangat sempit sekali.

            Untuk membebaskan dirinya daripada kepompong apabila tiba masanya, rama-rama ini terpaksa ‘meloloskan’ badannya keluar daripada leher pembedung yang sempit itu. Suatu hari, ketika memerhati dengan ‘kasihan’ seekor kepompong ‘malang’ yang sedang meronta keluar daripada pembedungnya, seorang ahli sains yang baik hati telah memberi bantuan dengan menggunting dan melebarkan leher pembedung itu supaya memudahkan kepompong keluar. Tepat seperti yang dijangka, kepompong itu keluar dengan mudah tanpa perlu meronta. Tetapi, kepompong itu tidak berdaya untuk terbang sebaliknya ia jatuh ke tanah dan hanya berdaya merayap-merayap di tanah sahaja. Selepas beberapa hari ia dijumpai mati di atas tanah tanpa merasai hidup berterbangan di udara dengan sayapnya yang hebat itu.

            Tidak lama kemudian diketahui bahawa untuk membolehkan ia terbang, ia hanya perlu menjalani proses meronta dan meloloskan dirinya keluar dari leher pembedung kerana melalui proses itu, bendalir dipam masuk ke dalam urat-urat kepaknya yang membolehkan ia terbang apabila ia keluar.

            Perjuangan hidup, penderitaan jiwa dan seksaan itu semuanya perlu untuk menjadi seorang yang unggul.

            Di suatu seminar, para peserta ditanya dengan satu soalan yang dianggap mudah, “siapa yang tidak ingin mempunyai masalah, sila angkat tangan.” Semua peserta mengangkat tangan. Penyoal itu kemudian memberitahu bahawa setiap hari ketika pergi bekerja, beliau akan melalui satu tempat yang semua penduduknya tidak langsung mempunyai masalah. Beliau bertanya kembali kepada para peserta sama ada ingin menyertai orang-orang ini kerana semua peserta telah mengangkat tangan. Beliau meneruskan ceritanya bahawa orang-orang ini tidak mempunyai akhbar pagi untuk dirisaukan, tiada masalah makanan, tiada masalah pekerjaan, tiada masalah rumah tangga, tiada masalah kewangan dan malah tiada masalah langsung. Kemudian beliau memberitahu bahawa tempat itu ialah kubur dimana semua penduduknya telah mati.

            Seksaan, masalah dan penderitaan adalah sebahagian daripada hidup yang tidak menyenangkan tetapi perlu. Ia adalah pengorbanan yang perlu bagi kita sebagai orang yang hidup. Seperti kata Dr. Norman Vincent Peale, “masalah itu adalah tanda kehidupan. Semakin banyak masalah anda maka semakin hiduplah diri anda.” Dan ingatlah, apabila kita menghadapi masalah, janganlah remuk redam, janganlah hancur berderai. Alamilah sahaja penderitaan itu sehingga ia berlalu.

            Rahmat penderitaan itu terletak pada peranannya untuk mendekatkan kita kepada Allah, untuk mengajarkan kita menjadi gagah tatkala lemah dan menjadi bijaksana ditengah-tengah kekabutan. Kejayaan itu bukannya diukur dengan puncak-puncak pencapaian yang dicapai seseorang tetapi dengan halangan dan rintangan yang diatasi dalam mencapainya. Laut yang bergelora dan ribut taufan menghasilkan pelayar yang baik dan tidak mudah mabuk. Janganlah takut pada angin kesusahan. Ingatlah bahawa layang-layang itu terbang tinggi dengan menentang angin dan bukan dengan mengikutinya.