Text Box: Mencari Kesinambungan Perjuangan Mahasiswa
 

 

 


Universiti bukanlah sekadar medan untuk menyampaikan ilmu tetapi juga sebagai medan kepada pembinaan suatu peradaban, menjadi jambatan kepada medan yang lebih besar dan praktikal. Dalam mana-mana tamadun dari peradaban, universiti secara asasnya menjadi lambang peradaban bagi sesuatu bangsa. Tarbiyyah di kampus biasanya dipenuhi dengan tamrin, rehlah, qiammullail ataupun usrah yang cukup mendidik. Bahkan tarbiyyah mahasiswa ditambah dengan perlaksanaan program-program yang melibatkan masyarakat kampus dan juga luar kampus.

            Semua ini bukanlah satu proses yang tersendiri tetapi ia merupakan salah satu mata rangkaian yang memerlukan proses yag berterusan. Menjadi hasrat semua pihak untuk melihat kalangan yang menerima sistem tarbiyyah di kampus menjadi penggerak sistem tarbiyyah masyarakat. Seharusnya kita beranggapan bahawa unversiti mahasiswa dibina seperti pembinaan para sahabat Nabi di rumah Arqam Abi Al-Arqam yang melahirkan rijal-rijal aqidah. Mereka inilah yang menjadi contoh yang ulung dalam menghadapi cabaran dan rintangan serta penderaan oleh Musyrikin Mekah.

            Demikianlah sejarah dimana Nabi meletakkan asas Daulah Islamiyyah. Kekuatan aqidah ditambah dengan kekuatan Islam yang boleh membuka kekuatan Islam yang boleh membuka ruang tertegak syariah di Mekah dan seluruh alam semesta. Hakikatnya, mahasiswa yang dilahirkan oleh universiti sudah mampu menyaring antara sekular dengan sistem yang syumul. Mahasiswa seharusnya jangan berbangga dengan sekadar menjalani proses tarbiyyah di peringkat kampus. Nilai perjuangan bukan terletak pada pengalaman hebat tetapi daya juang yang berterusan.

            Dakwah tidak dapat terlaksana tanpa wujudnya daulah, khilafah dan tentera yang dapat melawan musuh-musuh Allah s.w.t. Islam bukannya agama yang bersifat peribadi yang terpisah dengan masyarakat. Kita juga menyedari betapa Islam bukanlah pertapaan tetapi Islam adalah ad-Deen bagi ummah. Ia adalah undang-undang syariat, jihat, daulah, dan khalifah. Maka barang siapa yang tidak peka terhadap nasib ummah, maka dengan sendirinya ia telah terkeluar daripada ummah.

            Satu masalah yang sering melanda aktivis-aktivis kampus, mereka sering kehilangan arah dan nada perjuangan. Masing-masing siduk dengan urusan sendiri tanpa disedari kehidupan sedemikian telah menyebabkan seseorang yang pernah aktif di universiti tidak mampu lagi menyumbang apa-apa seperti pada zaman kegemilangan kampusnya suatu ketika dahulu. Mahasiswa seharusnya menjadi tiang seri yag kuat dan teguh dalam perjuangan ummah. Mahasiswa seharusnya tidak membina kepompong untuk dijadikan ‘escapisme’ dalam perjuangan.

            Mencari jalan untuk terus berjuang di medan sebenar memerlukan kesabaran dan azam yang tinggi. Mahasiswa yang penuh dengan idealisme perjuangan menjadi kaku apabila berhadapan dengan realiti yang sebenar. Meskipun orang Melayu mempunyai sosio-budaya yang ringkas, tetapi mentaliti politiknya masih tidak kritis. Mengajak masyarakat Melayu berfikiran kritis bukanlah satu tugas yang mudah bahkan memerlukan masa dan pengorbanan yang berterusan.

            Sikap kritis dan tekanan emosi mungkin diperlukan untuk memulakan langkah kepada perubahan. Permulaan perubahan mestilah diteruskan dengan pengisian yang mampu membina kefahaman dan keyakinan kepada masyarakat. Proses ini berjalan dan akan terus berjalan jika mahasiswa berada dalam perut masyarakat. Mahasiswa perlu tahu bahawa akal budi masyarakat masih mementingkan tradisi. Meskipun berlaku pertumbungan antara kepentingan semasa dan tradisi, masyarakat biasanya lebih akur untuk meneruskan apa yang telah sedia ada. Menjadi tanggungjawab yang jelas kepada para mahasiswa untuk membawa obor idealisme perjuangan di universiti ke kampung halaman  sendiri.