Text Box: Buta Yang Membawa Bahagia dan Bencana
 

 

 


            Dalam hidup ini amatlah malang bagi kita jika kita mempunyai dua jenis buta atau pun mengalami salah satu dari jenis buta. Ini mendorong kita terus melakukan dosa dan tidak mahu bertaubat. Buta yang dimaksudkan ialah buta hati dan buta akal.

 

  1. Buta Hati

Hati yang buta tidak akan mengenal Allah, kebaikan dan kebenaran. Lalu timbullah penyakit keji-mengeji, tidak bertimbang rasa, tidak bersyukur serta tidak merasa berdosa dan bersalah apabila melakukan maksiat kerana ia buta, hati hanya mengikut kepimpinan hawa nafsu jahat dan terus melakukan dosa kemungkaran.

Akibatnya seseorang insan itu akan berkelakuan seperti syaitan yang suka mengadu domba, tamak, membuat fitnah, sombong, dan bersifat seperti binatang, hati sudah tidak berperanan sebaliknya nafsulah yang mengambil alih tempatnya sebagai raja. Firman Allah yang bermaksud:-

“sesungguhnya Kami peruntukkan untuk mereka neraka Jahanam kebanyakannya terdiri daripada jin dan manusia, mereka ada hati tetapi tidak mahu memahami (isi al-Quran) dan mereka ada mata tetapi tidak melihat dengan matanya dan mereka ada telinga tetapi tidak mahu mendengar dengan telinganya, mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Al A’raf:179

 

  1. Buta Akal

Orang yang buta akal ialah orang yang akalnya tidak boleh berfikir lagi atau tidak mahu lagi menggunakan fikirannya sekali pun otaknyanya tajam dan cerdik apabila akalnya telah buta, dia tidak dapat lagi menangkap ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup sama ada daripada apa yang dilihat atau pun daripada sentuhan anggota lahir. Akibanya manusia seperti ini menjadi pasif, beku dan kosong daripada ilmu pengetahuan.

 

  1. Buta Nafsu

Sebaliknya buta nafsu yang tidak mendorang manusia mengikut sifat semulajadinya ke arah kejahatan dan kemungkaran, ia akan membawa bahagia kerana kebutaanya akan dipimpin oleh hati yang memang  tabiat semulajadi mengenal Allah, taat dan sukakan kebaikan. Hati sebagai raja dalam kerajaan diri kita akan memimpin nafsu bersesuaian dengan kehendak-kehendak yang dibenarkan oleh Allah dan rasul. Dengan kata lain nafsu yang buta akan patuh pada pimpinan hati (roh) sebagai raja.

 

Kesimpulan:-

            Hati yang buta ialah hati yang rosak, kebutaan itu dipimpin oleh nafsu begitu juga dengan akal yang buta. Sebaliknya memiliki nafsu yang buta, adalah baik buat seseorang kerana ia akan mendorang kepada kebaikan. Oleh itu sebagai insan, hati hendaklah selalu dijaga agar sihat, akal pula hendaklah diperlihara agar tidak buta sehingga tidak dapat menimba ilmu pengetahuan.

            Perlu diingat bahawa jika manusia hanya berusaha menjaga hatinya agar tidak buta tetapi tidak menjaga akalnya ia akan menjadi manusia yang baik akhlak tetapi pasif dan beku. Sebaliknya jika manusia itu akal sahaja yang diasah tetapi membiarkan hatinya buta dan nafsunya celik, dia akan menjadi manusia pandai dan berilmu tetapi jahat, kejam, tamak dan perosak.

            Jika seseorang itu hati dan akalnya buta dan nafsunya celiknya, dia akan menjadi seorang yang jahat, pasif dan tidak berilmu. Oleh itu, kita umat Islam hendaklah sentiasa celik melihat kebenaran sepanjang masa, jangan sampai buta melihatnya begitu juga dengan akal. Sebaliknya nafsu hendaklah sentiasa cuba dibutakan dengan kecelikan hati dan akal, kita akan dapat membina keperibadian dan akhlak yang tinggi dan membentuk sebuah masyarakat yang patuh berdisplin, kasih sayang, maju dan berakhlak.